Isnin, 20 April 2009

7 Tips Motivasi Pagi Untuk Lebih Bersemangat

Perkara terbaik yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah :

1. Bersyukur, bersyukur, bersyukur.
Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.

2. Tekad Bermotivasi.
Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.
Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.

3. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi.
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.
Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.

4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.
Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas betri’ saja.
Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak bukak buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.
Masuk saje ke dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!

5. Set Target Kemajuan Diri Sendiri
Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?
Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.
Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.
Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.
Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.
Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes anda.
Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.

6. Lihat Warna Cerah
Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.
Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!
Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.

7. Penuhkan Hati Dengan Kemaafan
Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.
Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.
Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.
Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.
Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.

Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup.

Jumaat, 17 April 2009

Panduan Mengurangkan Tekanan atau ‘Stress’

Semua orang, laki ke pompuan, tua ke muda, kaya ke miskin, sikit sebanyak pasti akan merasai tekanan atau stress.

Ada orang stress disebabkan hal2 yang remeh temeh. Ada orang akan stress bila tak dapat rokok. Ada orang stress bila tengok muka boss. Ada orang stress bila banyak kerja. Pendek kata, ada macam2 jenis stress. Masing2 akan merasai stress mengikut pengalaman dan bidang masing2.

Orang yang paling berjaya ialah orang dapat mengawal minda dan emosinya apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Dia melihat sesuatu masalah melalui perspektif yang betul. Orang yang berjaya akan mengambil sikap yang betul atas segala masalah yang dihadapinya.

Orang yang dapat buat begitu dianggap berjaya kerana dia dapat mengubah yang negatif kepada positif. Dia tukar tekanan menjadi cabaran pada dirinya. Dia boleh tukar masalah menjadi peluang. Dia dapat menukar tekanan menjadi rangsangan.

Anda ingin berjaya menangani stress? Anda ingin hidup aman tanpa merasai stress yang sentiasa mengganggu emosi dan fikiran anda?

Sila baca panduan bagaimana untuk menangani stress, yang saya dapat daripada Dr. Danial ini.

1. Kita mesti menjadi seorang yang berwawasan dan berperancangan.
Orang yang berjaya ialah mereka yang mempunyai wawasan atau visi. Hidup mereka bermatlamat dan di samping itu mereka mempunyai cita-cita yang tinggi. Mereka merupakan golongan yang mampu menjawab dengan jelas soalan ‘what’ atau apa yang saya mahu berhubung masa depan seperti yang disebutkan oleh Peter M. Senge dalam bukunya The Fifth Discipline.

Wawasan dan matlamat perlu disusuli dengan usaha. Zaman pungguk termenung merindukan bulan sudah berlalu. Hari ini ialah zaman ikhtiar dan usaha. Tanpanya pungguk akan mati.
Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 202, “Mereka itulah orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah amat cepat perhitungan-Nya.”
Usaha yang akan mendatangkan hasil yang baik ialah usaha yang berdasarkan perancangan yang teliti.

Mengikut Imam Tirmizi, nabi bersabda, “Manfaatkan yang lima sebelum datang yang lima, masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum mati.”

Hadis ini menunjukkan mereka yang berjaya ialah mereka yang merancang awal dalam hidup mereka. Mereka merupakan golongan yang proaktif yang ingin memanfaatkan peluang hari ini sebelum tiba hari esok. Dengan itu kerja-kerja ‘last minute’ dapat dielakkan sekali gus cara hidup kelam kabut dan tergesa-gesa yang melahirkan tekanan dapat dielakkan.

2. Berzikir dan beribadah lah dengan khusyuk.
Ibadah yang khusyuk akan mendatangkan kedamaian kepada jiwa seseorang dan kedamaian ini akan lebih mendekatkannya kepada Allah sehingga akhirnya timbullah kelazatan dan keenakan ketika beribadah. Ketika itu, ibadah menjadi penawar yang mampu meredakan sebarang tekanan yang melanda hati. Di antara ibadah yang boleh mendamaikan hati ialah zikrullah.

Sehubungan dengan ini Allah berfirman: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.” (Ar-Ra’d 13:28)
Pada suatu ketika, seorang lelaki telah mendatangi sahabat Abdullah ibn Masud r.a. dan berkata: “Wahai Ibn Masud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut kemusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku tiada.”

Abdullah ibn Masud r.a. telah menjawab: “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, pertama, ke tempat orang sedang membaca Al-Quran tidak kira sama ada kamu ikut membacanya atau kamu sekadar mendengar pembacaan orang lain. Kedua, kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah dan ketiga, kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam, dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepada-Nya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu. Jika selepas melakukan kesemua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukannya hatimu.”

Lelaki itupun kembali ke rumahnya dan terus mengambil wuduk dan membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk. Selesai membaca Al-Quran, didapati jiwanya telah berubah menjadi tenang, fikirannya menjadi jernih dan kegelisahan yang selama ini melanda hatinya hilang sama sekali.

3. Hidup Yang Seimbang Adalah Penawar.
Salah satu punca tekanan yang menyerang ramai orang pada hari ini ialah ‘ketagih bekerja’ atau ‘belajar tanpa henti’. Mereka, yang dikenali sebagai workaholic, bekerja / belajar siang dan malam sehingga melupakan segala tanggungjawab yang lain.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Dr. Bryan E. Robinson dari Universiti North Carolina di Charlotte, golongan ini mengeluarkan banyak hormon adrenaline di dalam badan mereka dan hormon ini akan membebankan jantung, menyebabkan darah tinggi dan menyempitkan pembuluh darah.

Perubahan-perubahan ini mendedahkan golongan ini kepada sakit jantung, strok, kesugulan dan keinginan untuk membunuh diri. Islam menentang sebarang sikap melampau di dalam hidup.
Nasihat yang paling baik untuk kita hayati ialah yang pernah dinasihatkan oleh sahabat Salman Al-Farisi r.a. kepada Abu Dardak r.a. Nasihat ini kemudiannya disokong oleh Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya Tuhanmu ada hak ke atasmu, dirimu ada hak ke atasmu dan keluargamu ada hak ke atasmu. Berikan setiap yang berhak ini haknya.” (Bukhari).
Justeru keseimbangan dalam hidup adalah sangat penting.

4. Senaman dan Rekreasi Meredakan Tekanan.
Islam menggalakkan umatnya aktif beriadah dan membenci mereka yang malas dan tidak aktif.
Nabi s.a.w. telah bersabda: “Semua perkara melalaikan seseorang dari zikrullah melainkan empat perkara: pergi memanah, melatih kuda (untuk berperang), bergurau senda di antara suami isteri dan belajar berenang.” (Tabrani)

Senaman akan menambahkan kekuatan mental dan ketajaman pemikiran. Di samping itu ia juga merangsang kreativiti dan imaginasi seseorang.

Mengikut satu kajian, senaman dapat mengurangkan kemurungan kerana ketika bersenam otak akan mengeluarkan bahan-bahan kimia asli seperti endorphin yang berfungsi mendatangkan ketenangan dan menghilangkan kesedihan serta kemurungan. Justeru, senaman dan rekreasi (dalam batas-batas syariat) adalah penawar yang mujarab bagi mengawal tekanan atau stress.

5. Berdoa Dengan Khusyuk Adalah Penawar
Berdoa adalah ibu ibadah. Imam An-Nawawi telah menukilkan perkataan Imam Al-Ghazali di dalam kitab Al-Azkar berhubung dengan kepentingan doa: “Doa menjadi sebab bala dijauhkan dan rahmat diturunkan. Ia dapat dikiaskan dengan perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan”.

Doa yang diterima oleh Allah ialah yang dilakukan dengan hati yang khusyuk seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w.: “Berdoalah kepada Allah dengan keyakinan bahawa Allah akan mengabulkan permintaanmu. Ingatlah, Allah tidak akan memperkenankan doa yang datang dari hati yang lalai”. (Tirmizi)

Bagaimana dengan anda? Anda selalu menghadapi stress? Apakah yang biasanya anda akan lakukan untuk mengurangkan stress??

Rabu, 15 April 2009

Cara untuk kenalpasti perangai kawan

Saya ada satu cara macammana kita nak tahu perangai kawan-kawan kita. Cara ini ialah dalam bentuk soalan psikologi. Sebenarnya abah saya yang ajar cara ni kepada adik-beradik saya satu ketika dulu. Dan saya dah pun praktikkan cara ini kepada ramai kawan2 saya.

Apa yang boleh saya katakan, cara ini merupakan cara orang tua2 dulu dalam membaca/mengenali perangai seseorang. Anda tak percaya? Baiklah, saya minta anda cuba jawab soalan saya di bawah ini. Sila jawab dengan ikhlas. Tuliskan jawapan anda pada bahagian komen.

Hmm…sebetulnya ia bukanlah soalan sebenarnya. Tetapi ia lebih kepada satu bentuk pemilihan. Baiklah, anda sudah bersedia untuk membuat pemilihan? Begini kisahnya….
Anda diminta untuk menanam sebatang POKOK KELAPA (Pokok Nyiur). Dan ada 4 tempat berasingan yang perlu anda pilih untuk menanamnya. Tempat2nya ialah :
1. Di tepi sungai
2. Di halaman rumah
3. Di tepi/tengah padang
4. Di belakang rumah / tepi dapur

Kalau anda lah, anda akan tanam di lokasi mana?
Fikir dengan tenang dan jawablah dengan jujur. Yaa, berpandukan jawapan anda itu, saya akan dapat mengetahui sikit sebanyak tentang sikap/perangai anda. Kalau tak percaya, cubalah nyatakan pilihan anda. Ada berani ka?
Baiklah, tanpa melengahkan masa anda. Saya akan terangkan rahsia disebalik jawapan yang anda pilih tu. Samaada tepat atau tidak, anda lah yang lebih mengetahuinya. Mari kita periksa sama-sama.

Jawapan No1. : Di Tepi Sungai
Orang yang pilih kelapa tepi sungai ialah jenis orang yang BOROS! Dia amat sukar untuk berjimat. Ada saja duit, dia akan berbelanja, berbelanja dan terus berbelanja. Orang jenis ini juga boleh dikategorikan sebagai orang yang PEMURAH. Dan kadang2 seorang yang PEMBAZIR.

Jawapan No2. : Di Halaman Rumah
Dia seorang yang SANGAT SUKA DIPUJI. Orang jenis ini pantang dipuji, apabila kena puji sikit, dia akan jadi sangat baik dan sangat pemurah. Apabila ada orang bodek, maka dia akan begitu mudah terkesan dengan bodekan itu. Selalunya, setiap pujian yang dia terima, maka dia tanpa ragu2 akan membalasnya dengan kebaikan.

Jawapan No3. : Di Tepi/Tengah Padang
Maaf jika saya katakan bahawa, orang jenis ini berkemungkinan besar adalah seorang yang SANGAT BERKIRA! Senang kata, orang jenis ini mungkin seorang yang KEDEKUT. Dia sangat sukar untuk belanja kawan2 dia atau orang lain. Apabila melibatkan hal yang berkaitan dengan duit terutamanya, dia menjadi seorang yang sangat teliti dan sangat berkira-kira.

Jawapan No4. : Di Belakang Rumah / Tepi Dapur
Orang jenis ini adalah seorang PENJIMAT dan BIJAK MENGURUSKAN KEWANGAN. Dia selalunya mempunyai perancangan dan berpandangan jauh. Sentiasa mengambil kira soal masa depan dan untung rugi. Orang jenis ini adalah yang paling sederhana. Dia tidak kedekut, tidak boros dan tidak pula mudah termakan pujian/bodekan orang. Dia sentiasa rasional dalam tindakannya.

Sekian. Itulah apa yang diajar oleh abah saya tentang penerangan disebalik pilihan lokasi pokok kelapa ini. Setakat ini saya dah tanya soalan ini kepada berpuluh2 orang kawan saya. Dan majoriti memang mengena. Anda bagaimana?

Apa kata anda cuba praktikkan cara yang saya ajar ini kepada kawan2 anda. Anda cuba tanya dan nilai sendiri jawapan yang diberikan oleh kawan2 anda. Adakah mengena dengan perangai dan sikapnya? Cubalah… :)

Selasa, 17 Mac 2009

Pengenalan

Salam Mahabbah buat semua yang mengunjugi Laman UBK SMK Balung. UBK telah beroperasi sejak penubuhan sekolah lagi. Bermula tahun 2009, UBK mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan blog rasmi UBK SMK Balung seiring dengan kemajuan teknologi maklumat masa kini.

Berikut adalah Guru Bimbingan yang boleh dihubungi oleh para pelajar dan juga staf SMK Balung bagi sesi 2009:
Sesi Pagi :-
  • Puan Norhaini Mohd Nor
  • Encik Roslan Tollah
Sesi Petang :-
  • Cik Noryanti Yamin

Selamat Datang Ke Blog Rasmi UBK SMK Balung

Selamat datang ke laman blog rasmi Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) SMK Balung, Tawau, Sabah . Beritahu rakan-rakan pelajar lain tentang kewujudan laman web ini. dapatkan informasi lengkap berkenaan UBK seperti berita & pengumuman terkini, foto galeri aktiviti, pencapaian akademik, ko-kurikulum, ruangan berbincang, alumni dan banyak lagi infomasi disediakan berkenaan UBK. Jadikan laman web ini sebagai hari permulaan berinternet anda!.